Alhamdulillah, dah jumpa jodoh yang baik. Mesti nak kahwin kan? Cuma masalahnya, semua benda perlukan duit. Nak buat majlis perlukan duit, nak bantu ibu bapa, nak mulakan hidup baru selepas kahwin…
Ya, tak dinafikan rezeki akan datang selepas berkahwin. Tapi rezeki itu juga perlu dirancang dan diusahakan.
Saya kenal dengan suami sejak tingkatan 4. Kami bukan dari sekolah yang sama, tapi jiran saya adalah rakan baik suami. Jadi dia selalu melepak di rumah jiran saya tu. Kami kenal-kenal macam tu. Habis sekolah, barulah suami ajak untuk berkawan serius.
Memandangkan masih muda, jadi hubungan kami biasa-biasa je. Bila dah lama kawan, suami mahukan hubungan yang lebih serius. Jadi saya minta dia berjumpa sendiri dengan keluarga saya.
Setiap pasangan bertunang tu ada dugaan masing-masing. Macam kami, bila bertunang ni tiba-tiba suami tak ada kerja pula. Merata dia cari kerja, tapi tak ada rezeki.
Waktu bertunang tu, kami buat macam-macam untuk kumpul duit kahwin. Siang saya kerja seperti biasa, malam pula saya dan suami berniaga burger. Hujung minggu kami ambil upah pasang pelamin.
Bila susah macam ni, ada juga yang perli. Katanya, orang lain nak kahwin, kami pun nak kahwin. Tapi saya tak ambil pusing. Saya teruskan juga rancangan untuk berkahwin. Tambahan pula kami banyak dapat sokongan dari keluarga.
Akhirnya duit cukup juga untuk kami berkahwin. Kami akhirnya selamat dinikahkan. Betullah rezeki Allah SWT tu luas. Elok kami kahwin je, suami terus dapat tawaran bekerja. Syukur sangat-sangat. Kalau tak kuat semangat, tak mudah nak lalui semua cabaran ni. Sebab itulah, saya rasa kita kena sentiasa yakin dengan ketentuan Allah SWT.
Sumber: Syiqin Nordin
(61)
0 comments:
Post a Comment