“Kalau Betul Nakkan Saya, Minta Izin Ibu Ayah Saya”



Jodoh yang baik juga rezeki. Jadi kalau nakkan rezeki yang baik, perlu usaha. Selepas usaha, jangan lupa dapatkan redha dari Allah SWT melalui istikharah.
InshaAllah lelaki baik untuk wanita yang baik.
Tergerak hati untuk saya kongsi kisah cinta saya dan suami, dari mula hingga ke jinjang pelamin. Sebelum tu saya ada janji pada diri sendiri yang saya tak mahu bercinta lagi setelah pernah kecundang dulu. Biarlah kali ini, saya bercinta selepas nikah.
Genap umur saya 26 tahun, kawan saya ada kenalkan saya dengan seorang lelaki, tapi hanya melalui nombor telefon. Disebabkan saya dah janji pada diri sendiri yang saya takkan bercinta lagi, saya hantarkan mesej pada lelaki tersebut, “Kalau betul nakkan saya, datang rumah, minta izin ibu ayah saya”.
Dalam masa seminggu, dia terus datang ke rumah keluarga saya seorang diri untuk berjumpa ibu ayah saya. Minta restu perhubungan.
Kami berkawan selama tiga bulan tapi hanya berhubung bila ada hal penting. Selama itu juga berulang kali saya solat istikharah. Alhamdulillah, bulan Jun 2013 keluarganya datang ke rumah untuk menetapkan tarikh bertunang walaupun pada masa tu kami tak pernah bersua muka ataupun sekadar berbual di telefon.
25 Ogos 2013, kami bertunang. Sampai masa ini pun, kami tak pernah keluar bersama. Yang ada cuma dia keluar bersama keluarga saya untuk buat persiapan majlis. Selain dari tu, kami masing-masing buat persiapan secara berasingan. Baju nikah pun kami beli sendiri, tak apa kan kalau tak sama warna? Hehe. Hal borang nikah pula, abah jadi orang pengantara.
29 Mac 2014 jam 9.00 malam kami selamat diijabkabulkan. Alhamdulillah Ya Allah. Abah yang nikahkan.
Selepas solat sunat nikah, barulah suami tengok rupa saya buat kali pertama.
“Oh ya, lupa nak beritahu, saya berniqab”; itu ucapan pertama saya kepada suami saya.
Alhamdulillah, sekarang usia perkahwinan kami genap 2 tahun. Dan kami masih lagi dalam fasa bercinta, nak bekenalan sambil merasa manisnya bercinta selepas nikah.
Memang, janji Allah itu pasti. Jadi buat anda di luar sana yang ada niat untuk bercinta selepas nikah, selidiklah latar belakang bakal pasangan anda dengan bersungguh-sungguh sebelum nikah. Kemudian, iringi usaha dengan istikharah. Jangan harapkan seseorang yang sempurna kerana jodoh kita adalah cerminan diri kita.
Mohon doakan saya dan suami dikurniakan anak yang soleh dan solehah, dan semoga perkahwinan kami kekal sampai SyurgaNya.
Sumber: Fazilla Hatta

0 comments:

Post a Comment