Setiap pasangan yang berkahwin pasti impikan rumahtangga yang bahagia dan berkekalan. Untuk ini, setiap suami pastinya mahukan isteri solehah sebagaimana sabda Nabi Muhamad SAW;
“Dunia itu penuh dengan nikmat dan sebaik-baik nikmat dunia adalah isteri yang solehah” (HR Muslim)
Dalam hubungan perkahwinan, suami ada beberapa hak ke atas isterinya dan isterinya juga ada beberapa hak ke atas suaminya. Antara salah satunya, lelaki merupakan pemimpin bagi kaum wanita dan mereka sepatutnya membimbing kaum wanita.
Dalam menunaikan kewajipan ini, Nabi Muhamad SAW telah menyeru kepada umatnya untuk melayan isteri mereka dengan baik melalui kata-kata dan perbuatan. Sabda Baginda SAW;
“Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku” (HR Tirmidzi)
Allah SWT juga berfirman;
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik” (QS An-Nisaa’:19)
Walaupun agama telah menetapkan suami sebagai pemimpin bagi kaum wanita, ia tak boleh digunakan sebagai alasan untuk para suami membuat sesuka hati kepada isterinya. Jangan bersikap zalim, menyuruh sesuka hati, tak bertimbang rasa, sombong atau terlalu berkeras.
Sabda Nabi Muhamad SAW;
“Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk. Dia tak akan boleh lurus dengan jalan yang engkau mahukan. Bila engkau ingin menikmati persahabatannya, maka nikmatilah dengan kebengkokannya. Jika engkau paksa untuk meluruskannya, engkau akan mematahkannya dan mematahkannya bermaksud mentalakkannya” (HR Muslim)
Kalau lelaki sedar bahawa fitrah wanita itu bengkok, mereka patut sabar dan tahu wanita tak boleh terlalu lurus atau berkeras kerana ini adalah sebahagian dari fitrah wanita. Lelaki yang berkeras supaya wanita sama-sama lurus seperti lelak adalah ibarat orang yang cuba menyalakan api di dalam air.
Nabi Muhamad SAW ada mengulangi perintah ini beberapa kali. Dalam haji Baginda yang berakhir, Baginda SAW member penekanan tentang hal ini. Sabda Baginda;
“Layanlah wanita dengan baik, mereka bagaikan tawanan di rumahmu, jadi layanlah mereka dengan baik kecuali jika melakukan kesalahan yang terang dan nyata, yang bila terjadi asingkanlah tempat tidur mereka, jika tak berkesan pukullah mereka dengan lembut tapi jangan sampai menyakiti mereka. Selepas itu, jika mereka taat kepada kamu, jangan salahi mereka. Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu. Hak kamu ke atas mereka adalah mereka mesti menjaga kehormatan kamu dan melarang orang lain memasuki rumahmu jika kamu tak suka mereka masuk, dan hak mereka ke atas kamu adalah untuk kamu melayan mereka dengan baik dan menyediakan makanan dan tempat tinggal untuk mereka” (HR Muslim)
Nabi SAW mengulangi perintah ini beberapa kali kerana Baginda tahu tentang fitrah wanita yang tak boleh diterima sesetengah lelaki yang tak mampu mengawal diri ketika marah. Bila mereka tak mampu bertolak ansur dengan fitrah wanita yang “bengkok”, ini akan membawa kepada penceraian. Ini pula akan membawa kepada kehilangan pasangan hidup dan perpecahan sebuah keluarga.
Sebenarnya kuasa yang diberi oleh Allah SWT kepada lelaki adalah supaya lelaki akan bertindak dengan penuh tanggungjawab dan sabar dalam menyelesaikan masalah rumahtangga. Jangan salah gunakan. Selalu ingat bahawa tanggungjawab terhadap isteri juga akan ditanya oleh Allah SWT di Akhirat nanti.
(1924)
0 comments:
Post a Comment