Teguran biarpun perit untuk diterima tetapi ia penting bagi mengekalkan keharmonian sesebuah hubungan. Apabila teguran atau kritikan membina diberikan kepada pasangan, ia dapat membantu mereka melihat kesilapan yang dilakukan dan berusaha untuk menjadi lebih baik.
Usah sesekali menganggap kritikan itu sebagai satu serang peribadi atau ‘senjata’ untuk menjatuhkan anda. Seeloknya, pandanglah ia dari sudut positif dan berusahalah untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Bagaimana cara terbaik untuk menegur si dia agar tiada perasaan yang terguris?
1. Bersikap jujur
Setiap kali anda mahu menegur pasangan, pastikan ia teguran realistik dan bukan dengan niat untuk menghentam. Tegur secara baik dan beritahu setiap kesalahannya itu dengan jujur. Berhati-hati dalam pemilihan ayat, susunlah ia agar sedap didengar dan tidak menyakitkan hati.
2. Puji sebelum dan selepas teguran
Sebelum anda menegur silap pasangan, sebaiknya mulakan dengan kata-kata manis yang memuji usaha si dia. Berikan kata semangat kepadanya, baharulah ditegur apa yang tidak kena. Sebagai contoh, “Sedapnya lauk yang awak masak ni. Tapi mungkin terlebih garam sedikit. Mungkin lepas ni, awak boleh masakkan lagi lauk seperti ini untuk saya.” Selepas teguran diberikan, eloklah anda sudahi dengan pujian sekali lagi untuk tidak emmatikan semangat si dia.
3. Jaga ton suara
Ketika menegur pasangan, selain susunan ayat yang baik, jagalah juga intonasi suara anda. Tegurlah secara lembut tanpa meninggikan suara. Ada masanya, ton suara yang lembut dapat memberi impak yang lebih ‘dalam’ berbanding nada suara tinggi.
4. Eye contact
Pastikan anda memandang tepat ke mata si dia ketika mengurnya. Bukan apa, dengan cara ini akan membuatkan pasangan terasa lebih dihargai. Selain itu, ia dapat mewujudkan rasa percaya dalam dirinya bahawa anda ikhlas menegur si dia.
5. Biar kena pada waktu
Jika pasangan melakukan kesalahan, tidak semestinya anda mengurnya si dia pada waktu itu juga. Pilihlah waktu yang sesuai, mungkin pada waktu mood pasangan anda sedang elok. Menegur pada waktu atau di tempat yang kurang sesuai bukan saja akan menjatuhkan air muka pasangan, ia juga boleh mengeruhkan keadaan dan berkemungkinan membuatkan si dia ‘berdendam’ dengan anda.
6. Jangan singgung perasaan
Mulakan setiap teguran dengan pendekatan yang lembut dan jangan biarkan si dia mencari solusi kepada kritikan anda itu seorang diri. Pastikan anda juga menyokongnya dan memberi cadangan membina untuk si dia berubah.
7. Bergurau dengan pasangan
BONUS! Sekiranya anda boleh menegurnya dengan sedikit sentuhan humor, ia lebih baik. kritikan begini biasanya tidak memberi tekanan kepada pasangan serta dapat membantu si dia untuk menerimanya dengan positif.
8. Sama-sama buat
Bantu si dia untuk membuat perubahan dan penyesuaian. Anda harus sentiasa bersedia untuk membantunya. Sekiranya anda boleh melakukannya bersama si dia, itu akan lebih memudahkan proses pembelajaran kalian untuk menjalani alam perkahwinan.
(2)
0 comments:
Post a Comment