Bila kita berpisah dengan seseorang, sama ada meninggalkan atau ditinggalkan, mesti kita sedih. Hati seakan retak. Berhari-hari, bahkan berbulan bulan boleh menangis. Susah nak terima bila orang yang selama ini ada dengan kita, sekarang sudah tak ada lagi.
Mungkin dari kecil lagi, bila kita mula ada teman baik. Kemana-mana pasti ada dengan dia. Dengan dia kita mula belajar kenal dunia yang selain dari apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa kita. Dengan dia kita mula belajar bergaul, belajar ke tempat-tempat lain, belajar survival dan sebagainya
Semasa membesar, hati kita jadi terlalu terikat dengan orang-orang di sekeliling kita tempat, apa-apa peristiwa, gambar-gambar, saat-saat indah, tulisan dan macam-macam lagi, jadi kita susah nak terima bila ada apa-apa yang membuatkan kita jauh dengan dia. Bila sesuatu terjadi tak mengikut kehendak kita, kita akan kecewa.
Kecewa kita pula bukan yang biasa-biasa. Perasaan kita musnah.
Bila kita dikecewakan, kita susah nak bangun semula. Kita tak lupakan apa yang terjadi, dan hati kita tak sembuh sepenuhnya.
Seakan gelas yang diletakkan di tepi meja, bila pecah, walaupun digam, ianya tetap takkan sama.
Tapi masalahnya bukan dengan gelas itu. Dan masalahnya bukan gelas itu asyik dipecahkan. Masalahnya, bila kita yang letakkan gelas itu di tempat yang senang dilanggar lalu pecah hancur.
Dalam semua hubungan kita, kita terlalu bergantung pada manusia, tempat, atau kenangan lain untuk memuaskan hati kita. Kita biarkan hubungan kita dengan orang-orang di sekeliling kita tentukan sama ada kita gembira, kecewa, mahupun harga diri kita.
Bila terlalu bergantung, seolah-olah kita beri hati kita pada orang lain untuk dia buat apa saja. Kita yang bagi kebenaran untuk hati kita dihancurkan. Jadi itulah yang kita dapat; satu demi satu kekecewaan.
Bukan salah orang yang hancurkan. Mana mungkin kita salahkan tali yang putus bila kita yang gantung berat berlebihan.
Kita yang terlalu bergantung pada manusia yang tak mampu memegang hati kita. Sedangkan hati kita sepatutnya diserahkan kepada Allah.
Firman Allah SWT:
Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (QS Al-Baqarah 2:256)
Ada pengajaran penting dalam ayat ini: bahawa hanya ada satu tali pegangan yang tak akan pernah putus. Hanya ada satu tempat di mana kita boleh gantungkan seluruh hati-hati dan jiwa kita. Hanya ada satu hubungan yang boleh tentukan harga diri kita. Hanya ada satu sumber yang boleh memberikan kita kegembiraan, kepuasan dan rasa selamat yang kekal sampai bila-bila. Hanya Allah.
(7956)
0 comments:
Post a Comment