“Saya Sedar, Pilihan Ibu Ayah Tak Pernah Salah”

Betullah kata orang, restu ibu ayah memang penting. Seburuk mana perangai kita, ibu ayah takkan nak kita kahwin dengan orang yang tak baik di mata mereka.

Dan apa pun yang terjadi, mereka tetap akan sentiasa ada di belakang kita, walaupun kadang-kadang kita tak nampak.

Di awal perkenalan kami, hubungan tu tidaklah baik mana. Kami selalu bergaduh sebab kerja. Dia seorang technician, saya pula supplier untuk barang-barang mesin. Jadi kami selalu bertelagah, apa lagi masing-masing nak menang. Disebabkan selalu bergaduh tu, kami jadi kawan baik pula di kilang kami bekerja. Waktu rehat boleh makan sekali, siap suami yang belanja. Tapi bila start kerja je, kami akan bergaduh semula.

Waktu tu saya ada berkawan dengan orang lain dan suami pun tahu. Sebab itulah kami cuma berkawan biasa sebagai rakan sekerja saja. Dalam diam, ada kawan rapat yang nak satukan kami. Saya tak mahu kerana kononnya setia waktu tu.

Saya suka juga dengan suami ni kerana dia seorang yang ringan tulang dan komited dengan kerjanya. Dia juga rajin bantu kalau saya perlukan bantuan. Jadi saya sajalah minta nombor telefonnya. Jadi selalulah kami bertukar mesej, maklumlah waktu tu tak ada Whatsapp atau Wechat lagi.

Satu hari tu, waktu kami bersembang barulah dapat tahu yang suami berkawan dengan kakak saya. Tahun tu, waktu beraya dia dan kawan-kawan yang lain datang beraya di rumah saya. Selepas tu, kami berkawan baik dan kadang-kadang dia akan datang ke rumah untuk jumpa emak dan abah saya. Bertanya khabar dan sebagainya. Kalau nak ajak saya keluar pun, suami akan datang terus ke rumah dan minta kebenaran orang tua saya. Sekali pun dia tak pernah hantar saya pulang malam. Biasanya kalau keluar memang tak lama.

Sebab itulah emak dan abah saya sangat sukakan suami. Mereka lebih berkenan dengannya berbanding teman lelaki saya ketika itu. Waktu tu saya tak ada perasaan sangat pada suami tetapi saya fikirkan balik semuanya. Adakah perasaan saya lebih penting atau restu orang tua yang saya mahukan? Jadi di situlah saya buat keputusan untuk utamakan emak dan abah.

Rupanya suami memang sukakan saya. Tapi saya beritahu pada dia, kalau suka lebih baik serius sebab saya tak mahu bercinta. Dia setuju. Terus dia hantar keluarganya untuk merisik. Tanpa bertunang, kami terus bernikah. Saya tak ada simpanan yang banyak waktu tu, tapi suami kata biarlah dia yang tanggung semua perbelanjaan kahwin kami. Waktu itulah saya sedar, pilihan emak dan abah tidak salah. Saya bersyukur sangat kerana Allah SWT bukakan pintu hati untuk menerimanya. Hari ini, bila dikenangkan semula perjalanan hubungan kami, saya sangat bahagia.

Sumber: Areinz Aen

(20)

0 comments:

Post a Comment