Sesudah Kesulitan Ada Kemudahan

Da;am kehidupan seharian, kita diuji dengan pelbagai masalah dan dugaan. Kadang-kadang dugaan ini dirasakan terlalu berat hinggakan kita rasa kita saja yang ada masalah paling berat di dunia dan ia tak adil bagi kita.

Masalah keluarga, pelajaran, tempat kerja, kawan-kawan adalah asam garam kehidupan tapi ada masanya kita goyah hingga mampu menggugat kepercayaan kita terhadap perencanaan Allah SWT.

Tak semua orang ada nasib yang sama. Ada orang yang diuji dengan kekayaan tapi kehilangan anak, ada orang yang diuji dengan kesusahan wang ringgit tapi keluarga tetap kuat memberi sokongan. Tapi ingatlah seberat mana pun ujian kita, Allah tetap bersama hamba-hambaNya yang suka mengadu dan memohon padaNya.

Teladani kisah Sumayyah binti Khayyath, syahidah pertama Islam yang menumpahkan darahnya demi mempertahankan keimanannya bersama suami dan anak lelakinya.

Sumayyah binti Khayyath adalah hamba milik Abu Hudzaifah bin Al-Mughirah. Dia kemudiannya dikahwinkan dengan seorang lelaki asal Yaman yang bernama Yasir bin Amir yang merupakan perantau di kota Makkah. Kerana banyak mendapat halangan, Yasir meminta perlindungan kepada Abu Hudzaifah yang merupakan kepala suku Bani Makhzum.

Hasil perkahwinannya dengan Yasir bin Amir, Sumayyah dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Ammar bin Yasir. Satu hari, Ammar yang mula manginjak usia remaja mendengar khabar tentang kedatangan Nabi baru yang membawa ajaran Tuhan. Sebaik saja mengenali Rasulullah SAW, Ammar terus jatuh hati dan langsung mengucapkan ikrar syahadatnya.

Mendapat khabar gembira, Ammar segera menceritakan kepada ayah bondanya. Berbeza dengan kebanyakan orang Quraisy yang memusuhi Islam, Yasir dan Sumayyah menyambut gembira khabar ini. Bahkan mereka mengikuti jejak Ammar untuk bersyahadat dan menjadi Muslim dan Muslimah.

button-banner

Diseksa Kejam

Keislaman yang pada awalnya disembunyikan akhirnya diketahui juga. Mendengar cerita bahawa keluarga Yassir ini memeluk agama Islam menimbulkan kemarahan Abu Hudzaifah. Dia memaksa supaya keluarga ini meninggalkan Islam dan kembali kepada agama nenek moyang mereka yang menyembah latta dan uzza. Namun ketiga-tiganya berkeras mempertahankan keyakinan mereka.

Seperti yang dialami oleh golongan awal yang memeluk Islam, Yasir, Sumayyah dan Ammar mengalami banyak sekali halangan dan cubaan. Hal ini ditambah lagi kerana status keluarga mereka bukan dari kalangan bangsawan Quraisy. Akibatnya mereka alami derita yang keterlaluan – mereka diseksa dengan kejam melampaui batas kemanusiaan.

Sumayyah dihumban ke atas pasir, lalu tubuhnya ditimbus dengan pasir yang sangat panas. Seakan belum puas hati, dada Sumayyah kemudiannya dihimpit dengan batu panas supayah dia tak dapat bernafas lalu mereka memaksa Sumayyah menyembah berhala-berhala nenek moyang mereka. Namun wanita solehah ini tetap bertahan dengan keyakinannya kerana ingat janji Allah bagi hambaNya yang bertakwa, iaitu Syurga.

Mereka bertiga terus mendapat seksaan seperti didera, dicambuk, disalib di padang pasir yang terik, ditindih dengan batu panas, dibakar dengan besi panas, bahkan ditenggelamkan ke dalam air hingga sesak nafasnya dan menggelupas kulitnya yang penuh dengan luka.

Suatu hari, ketika Ammar sudah tak mamou menanggung penyeksaan, dia kemudian mengadu pada Rasulullah SAW mengenai keadaanya. Rasul yang setiap hari datang memberi sokongan lantas berseru;

“Sabarlah, wahai keluarga Yasir. Tempat yang dijanjikan bagi kalian adalah Syurga”.

Sekalipun berat seksaan yang diterima, namun ketiga-tiganya tetap mempertahankan keislamannya. Ketika berada dalam keadaan sedar, tiada satu pun kalimat yang terlontar dari mulut ketiga-tiganya kecuali kalimat “Ahad… Ahad…” seperti yang dilontarkan oleh Bilal bin Rabah. Hal ini makin meningkatkan kemarahan orang Quraisy kerana gagal meruntuhkan keimanan mereka.

Higga suatu ketika, orang Quraisy rasa putus asa dengan keteguhan iman Sumayyah dan keluarganya lalu mereka membuat keputusan untuk membunuh Sumayyah. Dengan tombak runcing, Abu Jahal menjadikan Sumayyah mujahidah pertama yang gugur di jalan Allah bila tombak tersebut menembusi dada Sumayyah.

Sebelum kematiannya, tak sikit pun Sumayyah menggadaikan keimanannya.

Sumayyah binti Khayyath adalah simbol ketabahan hati, kekuatan iman, dan keutuhan jiwa seorang mujahidah. Dia rela mengorbankan segala-galanya termasuk jiwa dan raganya demi Islam.

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)”. (At-Talaaq 65:2-3)

Hikmah Dari Ujian

Jadi bagaimana dengan kita? Bila dibandingkan dengan Sumayyah, ujian kita tidaklah sebesar mana tapi terlalu mudah iman kita bergoyang. Sepatutnya bila ujian melanda, kita perlu berlapang dada, mencari penyelesaian masalah dan jika dah usaha sebaiknya, serahkan segala-galanya kepada Allah.

Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Mungkin bagi sesetengah individu, penceraian adalah jalan terbaik dari ada suami tapi terpaksa bergelumang dengan dosa dan maksiat. Mungkin ada diantara kita yang diuji dengan jodoh yang belum sampai walaupun usia sudah meningkat senja.

Hadapilah semua hadiah dari Allah ini tanpa putus asa. Memang benar mulut orang susah nak ditutup tapi contohilah Sumayyah yang redha dengan ujian Allah tanpa sebarang keraguan walaupun menerima seksaan demi seksaan kerana yakin dengan Islam.

Allah tak akan membebankan seseorang melebihi kadar kemampuannya. Pastinya ada kemudahan di sebalik setiap kesusahan.

Orang yang tak berfikir panjang akan gagal menilai hikmah sebalik setiap kejadian lalu dia akan jadi mudah marah dan senang putus asa. Walaubagaimanapun, Allah SWT telah mendedahkan rahsia paling penting di dalam Al-Quran, di mana hanya hamba yang beriman dan bertaqwa akan mampu melihatnya. FirmanNya;

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”. (Al-Inshirah 94:5-6)

(21875)

0 comments:

Post a Comment