Bila sebut tentang poligami, pasti ramai isteri yang terasa “panas”. Kata nak hidup bersama berdua, tapi kenapa lama-lama mesti muncul orang ketiga?
Dalam hal isi, anda mesti cuba fahami poligami dari dua sisi pandangan.
Pertamanya, poligami dah lama menjadi amalan orang Arab jahilyyah sebelum kedatangan Islam lagi. Pada masa itu, kaum lelaki boleh berkahwin dengan seberapa ramai perempuan yang dia suka. Suka, kahwin. Suka, kahwin. Tanpa fikirkan tentang tanggungjawab atau hak.
Islam pula datang dan meletakkan garis panduan untuk amalan ini. Jika difikirkan dari sisi ini, Islam sebenarnya membenarkan poligami untuk membela nasib kaum wanita yang sebelum itu ditindas sesuka hati dan sering digantung tak bertali.
Islam datang untuk memberikan hak kepada isteri dan letakkan tanggungjawab pada bahu suami.
Firman Allah SWT;
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (QS An-Nisaa’ 4:3)
Dalam ayat ini, Allah SWT gariskan beberapa panduan untuk poligami dalam Islam.
Pertama sekali, seorang lelaki tak boleh nikahi lebih dari empat perempuan pada satu masa. Kalau nak lebih dari empat, suami kena lepaskan salah satu dari empat yang dah dinikahi. Kena ingat juga, nak lepaskan pun bukan semudah lafaz cerai saja. Ada banyak tanggungjawab yang perlu diambil kira walaupun selepas bercerai.
Lagi, lelaki juga digalakkan untuk nikah dengan anak yatim atau janda atau balu atau ibu tunggal dengan niat untuk menjaga dan melindungi wanita-wanita ini. Bukan semata-mata ikut sedap mata atau nafsu saja!
Dalam rumahtangga, suami dan isteri dua-dua ada tanggungjawab masing-masing. Dua-dua akan ditanya oleh Allah SWT di Akhirat nanti. Tapi dalam hal poligami, sebelum lelaki nak tambah isteri, pastikan dulu nafkah isteri yang sedia ada dah cukup.
Suami ada tanggungjawab untuk tanggung nafkah zahir batin isteri, tak kira berapa ramai isteri yang dia ada. Nafkah zahir termasuk makan minum, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan apa-apa keperluan lain yang sesuai dengan kemampuan suami. Nafkah batin untuk isteri adalah kasih sayang, masa untuk bermanja dan sebagainya.
Paling penting, suami mesti mampu berlaku adil diantara semua isteri tanpa ada langsung sifat pilih kasih. Suami mesti mampu melayan sama baik, bercakap sama lembut, dan sama rata dalam hal kasih sayang.
Kalau anda suami, fahamilah bahawa ini bukan perkara yang senang! Sedangkan kasih sayang antara anak-anak pun ada yang lebih ada yang kurang, inikan pula isteri yang masing-masing ada perangai sendiri. Nanti ditambah pula dengan dua pasang ibu mertua dan dua pasang ayah mertua. Tanya diri sendiri, mampukah anda?
Selain itu, anda juga kena adil dalam soal harta benda dan pembahagian masa. Kahwin bukan hanya seronok juga. Semua rumahtangga ada cabarannya yang tersendiri. Jadi sebelum “rajin” nak membuka langkah, pastikan anda mampu pikul semua tanggungjawabnya sekali!
“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu, maka (berkahwinlah dengan) seorang saja…”
(1)
0 comments:
Post a Comment