Biar Allah SWT Yang Sembuhkan Luka Di Hatimu

Anda hanya hidup sekali, dan cinta sejati pun hanya akan muncul sekali saja. Inilah yang selalunya dipecayai oleh orang ramai.

Banyak cerita dongeng, drama dan novel cinta yang membuatkan anda percaya bahawa dalam hidup ini, hanya ada satu orang yang tercipta untuk anda. Hanya ada satu orang yang anda akan cintai dengan sepenuh hati dan kalau bukan dia, anda takkan mampu cinta sesiapa lagi sepertinya.

Ummu Salamah RA membuktikan teori ini salah. Beliau telah dikurniakan bukan saja satu tapi dua cinta sejati sepanjang hidupnya.

Ummu Salamah dulunya berkahwin dengan Abdullah bin Abdul Asad. Mereka adalah antara orang pertama yang menerima Islam dan berhijrah ke Habsyah.

Mereka pernah terpisah semasa hijrah kedua ke Madinah, tapi cinta mereka tetap kukuh hingga mereka bersatu semula. Cinta itu bertahan hingga Abdullah meninggal dunia dalam pertempuran, semasa Ummu Salamah sedang mengandungkan anak pertama mereka.

Ketika sedang nazak, Ummu Salamah mahu sama-sama berjanji tidak akan berkahwin sekali lagi kerana beliau mahu bertemu dengan suaminya di Syurga nanti, tapi ditegah oleh suaminya. Sebaliknya, Abdullah telah berdoa supaya Ummu Salamah dikurnikan suami yang lebih baik dari dirinya.

Ummu Salamah telah mengabiskan tempoh iddahnya dalam kesedihan kerana asyik teringatkan kebaikan, kelembutan dan keberanian arwah suaminya. Ada masanya, beliau teringatkan doa Abdullah untuknya, tapi siapa yang akan sanggup membesarkan anak Abdullah sebagai anaknya sendiri?

Akhirnya soalannya terjawab. Ketika tempoh iddahnya berakhir dengan kelahirnya puterinya Zaynab, Rasulullah SAW pun melamarnya. Dalam keadaan tak percaya, Ummu Salamah menjawab, “Aku seorang wanita yang tua, aku seorang yang cemburu dan aku ada anak dari suamiku yang dulu”.

Dalam kelembutan, Baginda SAW menjawab, “Aku lebih tua darimu, Allah akan membuang rasa cemburumu, dan aku akan membesarkan anakmu seperti anakku sendiri”.

Perlahan-lahan, rasa ragu-ragu dan kesedihan dalam hati Ummu Salamah pun hilang, diganti dengan rasa tenang dan damai.

Doa Abdullah untuk isterinya dijawab dan Ummu Salamah pun merasai keindahan cinta sejati, buat kali kedua.

Ramai orang, lelaki dan perempuan, yang jatuh cinta dan kemudian murung bila kehilangan cinta itu. Tak kira kehilangan disebabkan kematian, penceraian, atau apa-apa saja ujian hidup yang kita tak dapat nak jangka. Rasa sedih yang dialami mungkin dirasakan bera dan tak tertanggung, dan anda akan terasa bahawa bila cinta itu dah pergi, tak aka nada cinta seperti itu lagi.

Hakikatnya walaupun rasa dan pemahaman kita tentang cinta itu terhad, cinta Allah SWT, Al-Wadud, sangat luas.

Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya, hati anak-anak Adam, semuanya, berada di antara dua jari Yang Maha Pemurah sebagai satu hati; Dia mengarahkan mereka sebagaimana yang dikehendakiNya,” (HR Muslim)

Dia yang meletakkan cinta dalam hati kita, jadi Dia mampu menyembuhkan hati anda yang terluka. Dan Dia mampu hantarkan seseorang yang akan buat anda rasa gembira dan selesa.

Mungkin seseorang yang baru ini takkan dapat jadi pengganti kepada cinta yang dah hilang, tapi dia pun akan tambat hati kita dengan caranya yang tersendiri.

Inilah salah satu rahmat dari Allah SWT untuk hamba-hambaNya. Dia membolehkan hati kita merasa pelbagai jenis cinta. Dia berikan kita kemampuan untuk alami rasa cinta, rasa kehilangan, dan kemudian alami rasa cinta itu lagi. Jadi sebenarnya, siapa yang lebih berhak ke atas cinta dalam hati kita selain dariNya?

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (QS Ar-Ruum 30:21)

(1)

0 comments:

Post a Comment