Cinta Saja Tak Cukup Untuk Dijadikan “Modal” Sebuah Perkahwinan

Memang seronok merancang majlis perkahwinan, ditambah lagi bila anda tahu yang anda juga sedang dalam proses menyempurnakan separuh agama. Tapi sebenarnya, cukupkah cinta sahaja sebagai alasan untuk berkahwin?

Kalau anda cuma ada cinta, tapi tak pernah rancang hidup bersama secara serius, mampukah perkahwinan itu bertahan?

Sebenarnya dalam sebuah perkahwinan, yang lebih penting dari cinta adalah kematangan akal. Kematangan emosi yang merasakan cinta mesti seimbang dengan kematangan akal yang akan berfikir dan membuat keputusan.

Jangan terlalu ikut perasaan. Emosi kita cuma sementara. Bila semakin lama perasaan anda semakin pudar, kematangan akal andalah yang akan jadi penyelamat kerana perkahwinan yang bahagia perlukan pasangan yang sama-sama matang bila terpaksa hadapi cabaran.

Anda matang bila anda mampu tepikan emosi di saat genting. Anda matang bila anda mampu lihat hikmah di sebalik setiap ujian. Anda matang bila anda mampu sabar bila syaitan berbisik. Anda matang bila anda belajar dan terus belajar, walaupun dah banyak yang anda lihat di sekeliling anda setiap hari.

Sebelum pikul tanggungjawab sebuah perkahwinan, matangkan diri. Jangan main-main lagi. Mula bertindak seperti orang dewasa. Kalau tak tahu, tanya. Belajar dengan ikhlas dan cuba fahami semua perkara.

Belajar dari orang yang lebih bijak dan fahamkan erti hidup. Letakkan matlamat hidup. Rendahkan diri, jangan pernah fikir anda dah tahu segala-galanya.

Cinta saja tak cukup untuk sebuah perkahwinan. Kematangan pun bukan hanya dari segi akal fikiran. Sebelum kahwin, pastikan anda mampu dari segi kewangan, kematangan, emosi dan fizikal.

Ramai anak muda masa kini yang merasakan wang itu tak penting. “Rezeki akan datang selepas kahwin, inshaAllah”. Hakikatnya, rezeki pun perlukan usaha. Ianya takkan datang bergolek.

Selepas kahwin, banyak lagi cabaran yang bakal datang. Konflik dengan ibu mertua, ipar duai, perihal tempat tinggal, anak-anak, kawan-kawan, atau majikan yang tak memahami.

Lama-lama nanti anda akan sedar, untuk sebuah perkahwinan itu bertahan, anda mesti mampu untuk saling setia, jujur, dan tanggungjawab.

Kalau anda belum mampu, jangan tergesa-gesa. Semua orang ada pengalaman yang berlainan. Jadi tak semua orang akan matang pada usia yang sama.

Yang penting, usaha. Jangan hanya bercakap saja. Ada kalanya, kata-kata anda tak ada makna. Kalau anda betul-betul nak berkahwin dan mampu untuk berkahwin, buktikan.

(2)

0 comments:

Post a Comment