Cari perempuan untuk dijadikan isteri yang akan sama-sama bantu anda capai matlamat untuk ke Syurga tak semudah yang disangka. Anda sedang mencari teman hidup, jadi tak boleh pilih sembarangan. Jadi di sini, kami sediakan 7 langkah yang anda perlu lakukan untuk dapatkan isteri solehah.
Langkah pertama
Betulkan niat anda! Jangan sibuk cari bakal isteri sebelum anda fikir habis-habisan – kenapa anda nak beristeri? Ada orang yang berniat baik; dia mahu hubungan yang halal, dia mahukan sokongan, dia mahu bertanggungjawab, dia mahu jadi seorang ayah, dia mahu melindungi sebuah keluarga. Tapi ada juga orang yang nak berkahwin semata-mata kerana bernafsu. Memang nikah jauh lebih baik dari zina tapi tarikan fizikal saja tak cukup untuk pastikan sebuah perkahwinan akan bertahan. Betulkan niat anda!
Langkah kedua
Letakkan criteria yang realistik. Jangan berangan dapatkan isteri yang cantik, rajin masak, berjawatan tinggi, pandai mendidik anak, rajin mengemas, pandai urut, bergaji tinggi, lemah lembut, tahu bahagi masa, hormat orang tua, pandai serba serbi dan sebagainya. Bila anda letakkan harapan yang terlalu tinggi, anda yang akan kecewa nanti kerana orang yang sempurna itu tak wujud.
Seseorang mungkin nampak sempurna di mata anda sekarang tapi selepas kahwin, tak ada cacat cela yang boleh disembunyikan lagi. Dari sekarang, persiapkan diri untuk saling menerima dan bimbing dia untuk jadi lebih baik.
Langkah ketiga
Aktifkan diri. Ramai orang yang ada kerja dan tanggungjawab lain tapi jangan lupakan tanggungjawab kepada saudara seagama kita. Tempat terbaik untuk jumpa calon isteri yang baik adalah di persekitaran Islam – di masjid atau majlis agama.
Jadi aktifkan diri, libatkan diri dalam aktiviti setempat dan kenalkan diri anda. Nanti bila ada perempuan solehah yang nak berkahwin, pasti ahli masjid pun akan teringat pada anda!
Langkah keempat
Yakin pada diri sendiri. Memang, Islam meletakkan kedudukan yang tinggi kepada wanita tapi tidaklah sampai langsung tak boleh dicapai. Kebanyakan perempuan sebenarnya tak kisah didekati lelaki, asalkan ianya dilakukan dengan cara yang penuh hormat. Jadi mulakan langkah anda. Jangan malu untuk beritahu orang yang anda sedang mencari bakal isteri yang sesuai.
Langkah kelima
Periksa semula gaya hidup anda. Jangan jadi orang yang baik di masjid, tapi lain pula bila di luar. Memang anda pun tak sempurna tapi kalau anda selalu melepak malam bersama kawan-kawan lelaki dan perempuan, jangan pula canang yang anda sedang “mencari wanita berakhlak baik dan beriman”. Baiki diri anda dulu, barulah risaukan bakal isteri anda!
Langkah keenam
Jaga penampilan diri. Rasulullah SAW selalu berpakaian bersih, berbau wangi dan berpenampilan elok. Kalau anda mahukan isteri yang tahu jaga penampilan diri, isteri anda pun mestilah mahukan suami yang tahu jaga diri juga.
Tak semestinya berpakaian mahal, cukuplah lelaki yang tahu menghargai dan menjaga diri sendiri.
Langkah ketujuh
Bertolak ansur. Semua perempuan ada personaliti dan keinginan yang berlainan. Mereka suka dan tak suka perkara yang berlainan. Ada perempuan yang bercita-cita untuk jadi suri rumah sepenuh masa. Ada pula yang berlajar tinggi, bekerja, aktif, dan mahu capai cita-cita sendiri. Sebagai suami, anda kena bersedia untuk menyokong isteri anda.
Jangan hanya beritahu dia yang anda sokong kemahuan dia, tapi buktikan dengan tindakan. Kongsi kerja rumah dan keperluan rumahtangga yang lain. Bila ada konflik yang timbul, jangan hanya mahu isteri anda ikut arahan anda. Ketua keluarga yang baik mesti tahu jaga hati isteri dengan cara yang matang.
(3)





0 comments:
Post a Comment